dikala zina lebih mudah daripada berkahwin

assalamualaikum

dulu bila ada nyatakan hasrat nak berkahwin,
"ape yang kamu ada?"
"saya ada satu cincin besi."
jadi la cincin besi sebagai mahar.
nak kate ape yang ada, itu la yang diusahakan.

sekarang
"ape yang kamu ada?"
"saya dah ada dalam 10 ribu."
"hm..tak cukup lagi tu. kumpul lagi ok."

jumpa artikel menarik daripada facebook IKRAM. untuk diambil pengajaran oleh diri sendiri terutamanya dan juga sesiapa yang ingin mengambil pengajaran daripadanya. mungkin bukan zaman sekarang, akan datang insyaAllah. tunjukkan kepada masyarakat yang Islam itu indah lagi mudah =)


Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
FARAH, 24, (bukan nama sebenar) berada pada tahun akhir pengajiannya. Insya-Allah dalam sebulan dua lagi beliau akan menamatkan pengajian ijazahnya dalam bidang pengurusan perniagaan. Beliau lama bercinta dengan Azrul (bukan nama sebenar) yang juga menuntut di universiti yang sama dalam bidang kejuruteraan.

Mereka yang tinggal di kampung sama, bercinta sejak di bangku sekolah lagi. Ibu bapa mereka juga mengetahui percintaan mereka dan masing-masing tidak menghalangnya.

Bagaimanapun, Farah dan Azrul hairan mengapa ibu bapa mereka sering menolak hasrat mereka untuk mendirikan rumah tangga. Pelbagai alasan diberikan seperti mereka masih terlalu muda, masih mentah, belum boleh berdikari lagi dan belum mempunyai kewangan tetap.

Oleh kerana mereka tidak mahu terus hanyut dalam dosa kerana sering bertemu dan berdua-duaan tanpa nikah, mereka mengambil keputusan untuk bernikah di selatan Thailand secara rahsia. Mereka walaupun bernikah, masih dalam dilema. Ini kerana selepas tamat pengajian mereka masih tinggal dengan ibu bapa masing-masing dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti suami isteri. Ibu bapa juga mendesak agar mereka menunggu beberapa tahun lagi untuk berkahwin.

Alasannya bekerja dulu untuk mengumpul wang bagi menyara kehidupan. Farah tertekan dengan keadaan ini dan pernah bercadang untuk melarikan diri, tetapi dibantah oleh Azrul yang menasihatkannya agar bersabar. Mereka juga risau apabila memikirkan sekiranya mereka akan dinikahkan buat kali kedua. Pada masa yang sama mereka juga tidak berani untuk berterus terang kerana khuatir akan dipinggirkan oleh keluarga masing-masing.

Raudhatus Sakinah menerima banyak pertanyaan daripada remaja, terutama remaja di institusi pengajian tinggi mengenai hasrat masing-masing untuk bernikah bagi mengelakkan maksiat. Malah, ada yang pernah terlanjur beberapa kali akibat pergaulan bebas atau cinta yang terhalang. Adalah malang sekiranya remaja ini terus hanyut dalam arus percintaan berlandaskan hawa nafsu tanpa mendapat bimbingan daripada ibu bapa mereka. Lebih malang lagi sekiranya niat suci mereka untuk bernikah dihalang oleh ibu bapa dengan pelbagai alasan yang remeh.

Ibu bapa seharusnya boleh mengenali sekiranya si anak tadi bersungguh-sungguh atau tidak dalam permintaannya. Dan permintaan untuk bernikah bukanlah suatu permintaan yang boleh dianggap main-main atau gurauan. Tetapi ia melambangkan ketulusan hati dan kematangan fikiran. Tahap kematangan anak berbeza-beza, tetapi tidak sedikit mereka yang mempunyai kematangan fikiran dan mampu memikul tanggungjawab yang berat lantaran perkahwinan. Kehidupan zaman internet yang memberikan pelbagai kemudahan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada manusia menjadikan seseorang itu terdedah kepada lebih banyak maklumat yang menambah tahap kematangan dan kebolehannya membuat keputusan.

Kadang-kadang ibu bapa kurang pasti terhadap kesungguhan anak yang dianggap mentah kerana masih pada peringkat awal pengajiannya. Oleh itu, perkara ini perlu dibawa berbincang dari hati ke hati dan bukannya menolak mentah-mentah permintaan anak. Pastikan anak mempunyai persediaan untuk mengharungi alam rumah tangga iaitu persediaan mental, emosi dan spiritual, di samping persediaan fizikal seperti keadaan kesihatan dan kewangan. Ibu bapa yang prihatin dengan kesejahteraan hidup anak, pasti akan memberikan bantuan terbaik agar mereka dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaiknya.

Bantuan yang diberi bukan setakat memastikan makanan, pakaian dan pelajarannya terjaga. Malah, dalam bentuk perkongsian pengalaman dan kesediaan untuk memahami jiwa anak-anak yang meningkat dewasa serta menunjukkan kematangan untuk memikul tanggungjawab. Sebagai ibu bapa bestari, berilah nasihat dan bimbingan berguna kepada anak agar berwaspada dalam pergaulannya dan menjauhi seks luar nikah. Ibu bapa mesti mempunyai rasa cemburu dan curiga seandainya anak terlalu bebas dalam percintaannya hingga boleh menyebabkan mereka terlanjur.

Jangan terlalu memberat-beratkan urusan yang tidak wajib hingga menyebabkan anak melihat perkahwinan itu terlalu sukar, tetapi berzina pula lebih mudah. Islam memandang mulia institusi perkahwinan kerana ia adalah tunjang kekuatan sesebuah masyarakat. Anjuran berkahwin boleh dilihat melalui firman-Nya bermaksud:
Dan kahwinkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak berkahwin dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Sekiranya mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.(Surah an-Nur, ayat 32)

Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
Wahai kumpulan anak-anak muda! Barang siapa antara kamu yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin! Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pemandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, sebab yang demikian itu akan menahan nafsu.(Hadis riwayat Jamaah).

Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam karangannya yang masyhur iaitu Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) mengungkapkan bahawa perkahwinan itu adalah fitrah kemanusiaan, pemelihara maslahat kemasyarakatan dan penyucian hubungan antara manusia. Beliau menggariskan hikmah perkahwinan seperti berikut;

Pemeliharaan terhadap benih manusia.
Pemeliharaan terhadap keturunan dan nasab.
Keselamatan masyarakat daripada penyakit sosial dan moral.
Keselamatan masyarakat daripada penyakit yang menular akibat zina.
Ketenteraman jiwa, naluri dan akal fikiran.
Membangunkan kerjasama suami isteri dalam pembangunan keluarga dan pendidikan anak-anak.
Menyuburkan perasaan belas kasihan ibu bapa.

Bagi pasangan muda yang dilamun cinta, perkahwinan berupaya mententeramkan jiwa yang bergelora dan memberikan ketenangan dalam menuntut ilmu. Tidak keterlaluan kalau dikatakan ramai yang berjaya dalam pengajian masing-masing meskipun berkahwin pada usia muda. Ini adalah janji Allah bagi mereka yang mematuhi syariat-Nya seperti dalam firman-Nya bermaksud:
Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.(Surah ar-Rum, ayat 21)

Sabda Rasulullah bermaksud:
Apabila datang (melamar) kepadamu orang yang kamu sukai akhlak dan agamanya maka kahwinilah dia. Kalau tidak engkau perbuat demikian, akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.(Hadis riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Hadis ini jelas mengingatkan ibu bapa terhadap tanggungjawab untuk mengahwinkan anak mereka sama ada lelaki atau perempuan apabila sampai masanya. Ini untuk mengelakkan bencana maksiat zina yang lebih dahsyat lagi.

[Azlina Roszy Mohamad Ghaffar adalah Pakar Psikologis Klinikal dan aktivis Wanita IKRAM]

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
 

0 comments:

Post a Comment

mohd hafizuddin bin azman